27 January 2017

Persediaan Cuti Tanpa Gaji

Teks : Zaleha Mustapha
Gambar : Carian Google


Alhamdulillah, hari ini adalah hari ke 27 dari 59 hari Cuti Tanpa Gaji tapi bukan tanpa rezeki insyaAllah :D

Sebenarnya bila ada kawan-kawan yang cuti tanpa gaji, teringin nak tumpang sekaki tapi tiada sebab kukuh. Nak golek-golek di rumah, nak lari dari kerja bertimbun dan tak nak stress bukan sebab terbaik kerana di rumah pun kerja tak pernah habis. Silap haribulan, sama je stressnya macam di ofis. Duit tiada lagi stress. Pendek kata, buat pilihan bukan untuk lari dari sesuatu isu tapi untuk fokus pada solusi dan prioriti.

Niat yang kuat untuk cuti tanpa gaji tu bermula bila anak menghadapi isu school refusal bermula April 2016. Cerita anak istimewa Kak NiHa di SINI.

Persediaan cuti tanpa gaji tu bermula dengan mendapatkan maklumat tentang proses permohonan cuti tersebut. Google je ;) Dapatkan maklumat di laman web JPA, laman web majikan dan telefon ke bahagian sumber manusia. Kak NiHa kongsikan pengalaman cuti tanpa gaji penjawat awam sahaja  ya.

Cuti tanpa gaji (CTG) penjawat awam ni ada 3 pilihan :
1. Biasa
2. Menjaga anak
3. Mengikut pasangan

Kak NiHa kategori cuti tanpa gaji biasa. Syarat-syaratnya:

(a) Diberi atas sebab-sebab persendirian yang mustahak termasuklah sebab-sebab bersalin;
(b) Kelayakan sebanyak 30 hari bagi tiap-tiap genap tahun perkhidmatan yang melayakkan tetapi tidak
      melebihi 360 hari sepanjang tempoh perkhidmatan;
(c) Telah berkhidmat tidak kurang dari 6 bulan;
(d) Cuti rehat yang dilayaki hendaklah dihabiskan sebelum memulakan cuti tanpa gaji.

Bagi majikan Kak NiHa, syarat permohonan adalah 1-3 bulan sebelum bercuti. Cetak borang dan majukan kepada Ketua Unit, Penolong Pendaftar dan Ketua PTJ. Kak NiHa hantar borang sebulan lebih je sebelum bercuti. Alhamdulillah prosesnya lancar.

Sebelum ada kekuatan hantar borang tu, lama juga fikir, doa, solat hajat, solat istikharah. Suami memang ada usulkan cadangan cuti tanpa gaji sejak April tapi Kak NiHa belum bersedia. Banyak yang kena fikir dari segi kerja dan kewangan. Akhirnya dapat keyakinan untuk mula bercuti pada Januari-Februari kerana anak akan masuk ke sekolah baru dan tempoh percubaan di sekolah tersebut adalah 3 bulan.

Cuti tanpa gaji ni memerlukan persediaan mental dan emosi yang kuat terutama bagi ibu bekerja yang sudah biasa menanggung sebahagian perbelanjaan keluarga dan membeli apa yang dihajati tanpa meminta duit suami. Tiba-tiba tiada lagi duit 4 angka dalam akaun. Risau, sedih semua ada.

Namun yang memberi kekuatan adalah Allah dan SEBAB utama kita memohon cuti tanpa gaji. InsyaAllah rezeki akan datang dalam pelbagai bentuk. Bersedia untuk merubah rutin dan gaya hidup untuk sementara waktu.

Salah satu amalan yang  membantu kita untuk rasa tenang dan memudahkan urusan adalah bersedekah dan doa khusus (niat apa yang kita nak) semasa beri/bank in duit tersebut.

Berikut Kak NiHa kongsikan: 
Persediaan kewangan sebelum Cuti Tanpa Gaji:-

1. Senaraikan jumlah perbelanjaan wajib/tetap.

Bagi Kak NiHa, setiap bulan akan bayar pinjaman kereta, 3 kad perubatan, yuran KAFA.

2. Senaraikan jumlah perbelanjaan yang tidak tetap (boleh dikurangkan)

Contoh: internet (broadband), minyak kereta, makan minum, hadiah ibubapa.

Bil telefon Kak NiHa, kongsi-kongsi bayar dengan suami.

Untuk duit hadiah ibubapa, ada Kak NiHa baca kena teruskan beri amaun yang sama walaupun pendapatan berkurang. InsyaAllah, korek tabung yang ada :)

Kos perubatan turut diambil kira. Kak NiHa syukur kerana masih 'ditaja' sepenuhnya oleh majikan walaupun cuti tanpa gaji, masih boleh ke klinik panel. Sepanjang cuti tanpa gaji ni, 2 kali juga ke klinik kerana diri sendiri dan anak kurang sihat.

3. Semak simpanan.

Selain duit, emas juga sangat membantu semasa kita perlukan sumber kewangan. Ia boleh dipajak dan ditebus apabila mendapat gaji setelah kembali bekerja.

4. Bincang dengan suami sama ada beliau boleh mengambil alih bayaran tersebut.

Jika tidak dapat, boleh guna duit simpanan yang ada.

5. Semak lebihan gaji yang boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan mengikut tempoh cuti tanpa gaji.

Jika boleh guna duit lebihan gaji, kita tidak perlu guna duit simpanan yang ada.

Kak NiHa menyimpan separuh dari gaji selama 2 bulan untuk menampung perbelanjaan tersebut. Kena 'puasa shopping'..huhu.

6. Sediakan duit tambahan.

Duit ini boleh diambil dari Tabung Syiling, Tabung RM5RM20, Tabung RM100 atau dari perniagaan sambilan. Duit online biz Kak NiHa tidaklah banyak, tapi bolehlah untuk beli nasi sebungkus dua dan kuih muih masa dah jemu makan masakan sendiri :D

Jika cuti tanpa gaji 2 bulan, sebenarnya kita pelru simpan belanja untuk 3 bulan kerana gaji kan masuk hujung bulan. Ada hutang yang perlu dibayar sebelum gaji, jadi bolehlah guna duit tambahan ini.

Duit tambahan ini juga boleh dapat dengan menjual barangan terpakai di rumah. Ada kawan FB yang boleh dapat RM1 ribu sehari!

Kak NiHa baru nak asingkan mana yang boleh dijual/sedekah.

7. Tutup mata pada kehendak.

Semasa tempoh menyimpan separuh dari gaji, Kak NiHa memang scroll laju-laju atau hide iklan baju. Barang lain kurang menggoda tapi kalau bab baju Kak NiHa kalah sikit. Untuk ganjaran awal atas pengorbanan cuti tanpa gaji Kak NiHa beli awal-awal 2 helai abaya pada harga promosi.

Semasa cuti tanpa gaji ni, terasa jugalah kena kawal betul-betul perbelanjaan. Lauk pauk pun kena bajet-bajet. Sentiasa ingat nak jimat, nak jimat. Elakkan cakap tiada duit sebab kata-kata dan rasa tu juga adalah doa. Adalah juga terlepas cakap bila belek dompet dah kosong tapi cepat-cepat reset minda semula, insyaAllah duit tu akan datang dari arah tak disangka-sangka.



Salam kejayaan & kekayaan dunia & akhirat.
Aamiin.

===========
Anda menjual produk berkaitan penyusuan susu ibu? 
Iklankan produk anda secara PERCUMA di SINI >> http://bit.ly/butikPSI. 


Mahu membuat Simpanan Jangka Masa Panjang sambil menjana pendapatan? 
 Jemput ke >> http://jutawanpowergold.biz/nikzaleha. 

Mahu mencari baju menyusu patuh syariah? 
Jemput ke Butik Baju Menyusu >> http://clothdnz.blogspot.my
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...